Program Flagship Karnival Citra Jati Diri UniSZA
Pada 23 dan 24 Oktober 2019, Pusat Pengajian Teras (PPT) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa telah mengadakan Program Flagship Karnival Citra Jati Diri UniSZA. Program tersebut melibatkan semua staf PPT dan seramai 1212 orang pelajar UniSZA yang terdiri daripada pelajar tahun satu dan dua.
Program Flagship ini diadakan bertujuan untuk memperkasa jati diri pelajar dengan penerapan semangat patriotisme bagi memperkukuh penghayatan pelajar terhadap falsafah, nilai dan sejarah negara. Selain itu, program ini juga diadakan bagi meningkatkan ketrampilan dan kebolehpasaran pelajar menerusi penguasaan kemahiran pembelajaran abad ke-21 serta penguasaan kemahiran keusahawanan. Pada masa yang sama, PPT ingin menerapkan idea yang berasaskan 'universiti komuniti'.
Karnival Citra Jati Diri telah telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniSZA, YBHG. Professor Dr. Kamarul Shukri bin Mat Teh pada 23 Oktober 2019. Sebanyak tujuh aktiviti telah dilaksanakan sepanjang karnival berlangsung iaitu Program Keusahawanan Digital, Diskusi bersama Tokoh, Pameran Inovasi dan Video, Tayangan Filem Pulang berserta Ulasan Akademik, Sembelihan Halal Patuh Syariah, Virtual Speaking Race, dan Persembahan Kebudayaan. Acara penutup telah diadakan pada 24 Oktober 2019 di mana ia diakhiri dengan acara penyampaian hadiah kepada peserta aktiviti.
Karnival Citra Jati Diri telah dilaksanakan dengan jayanya. Semua staf PPT dan pelajar yang terlibat telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang program berlangsung. Objektif program juga berjaya dicapai melalui aktiviti yang dianjurkan. Sebagai contoh, melalui aktiviti 'Virtual Speaking Race', pelajar dapat menerap kemahiran pembelajaran abad ke-21 dengan menggunakan aplikasi atas talian seperti telefon pintar, HP Reveal, Facebook dan Live streaming bagi menyelesaikan tugasan yang diberi. Beberapa orang pelajar juga telah disoal mengenai impak aktiviti yang telah mereka sertai dan semuanya bersetuju bahawa aktiviti yang mereka sertai telah berjaya menerapkan ciri-ciri Naseem yang berasaskan lapan kelopak nilai yang digagaskan dalam pelan strategik baharu UniSZA iaitu ilmu, iman dan akhlak, amal, kepimpinan, taa'wun, keusahawanan, transformasi, dan inovasi.
Berdasarkan kejayaan Karnival Citra Jati Diri yang telah diadakan pada tahun ini, pihak PPT amat yakin bahawa program seumpama ini perlu diteruskan dan lebih banyak input perlu diterapkan dan dilaksanakan pada masa hadapan agar semua pihak yang terlibat, terutamanya pelajar, dapat mengecapi faedah dari setiap aktiviti yang disertai, seterusnya melahirkan insan holistik dengan nilai-nilai Naseem.